Wednesday, December 23, 2009

54100 Kuala Lumpur.

Sabtu yang baru sudah adalah Sabtu yang pertama kalinya dalam hidup di mana aku habiskan masa lebih daripada 6 jam untuk menelaah ilmu, meneroka kembali minda yang sudah penuh sarat dengan segala permasalahan hidup.

Ya, Sabtu lepas adalah kelas pertama bagi pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal yang aku telah daftarkan diri pada hujung minggu sebelumnya.

Dalam kelas aku dapat lihat pelbagai perwatakan manusia, baik lelaki mahupun perempuan. Kesemua mereka mempunyai alasan masing-masing untuk menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal.

Kebanyakan mereka sudah berkahwin dan mempunyai anak, tidak seperti aku yang masih bujang.
Kebanyakan mereka datang daripada jauh - Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, tidak seperti aku yang tinggal menumpang di rumah kakak yang terletak di Kota Damansara.
Kebanyakan mereka berusia 10 tahun lebih tua daripada aku dan sudah agak lama tidak menyentuh apa-apa jenis buku pelajaran, tidak seperti aku yang baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Mekanikal pada bulan Jun yang baru sudah.

Aku kagum. Kagum melihat kesungguhan mereka, kagum melihat kecekalan mereka, kagum melihat keazaman mereka. Sesungguhnya aku kagum dengan manusia seperti mereka. Mereka sebenarnya sudah boleh duduk santai di rumah pada hujung minggu bersama keluarga yang tersayang, tetapi mereka pilih untuk tidak melakukannya.

Kenapa?

Kerana mereka adalah sekumpulan kecil manusia yang secara sedar atau tidak telah menyahut seruan Allah yang bermaksud "Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya". Lantas, kerana inilah aku tersenyum dan hati kecilku mengucapkan tahniah kepada mereka kerana berusaha untuk masa depan mereka.

Dengan itu, aku bisik pada diri sendiri, "Kau pasti boleh lakukan apa yang mereka lakukan. Percaya pada apa yang kau lakukan dan jangan mudah berputus asa. Yakin dengan kebolehan diri kau dan pastikan 2011 nanti kau akan tamatkan pengajian dengan jayanya."

2 comments: