Monday, June 22, 2009

Kuala Lumpur.

Bersandangkan beg berwarna coklat jenama ROMP, aku meredahi bumi Kuala Lumpur yang sedang disirami rintik-rintik hujan kurniaan Ilahi, menyusuri Jalan Yap Kwan Seng menuju ke Jalan Ampang ke arah destinasi aku pada petang ini, Wisma Central.

Aku berjalan menyusuri laluan pejalan kaki yang menghubungkan Twin Tower PETRONAS dengan Wisma Central. Di pertengahan laluan pejalan kaki itu, aku lihat seorang pemuda yang masih sihat tubuh badan dengan topi yang hampir menutup matanya sedang berdiri memetik gitar menyanyikan lagu yang tak jelas kedengaran bunyinya. Di depannya ada dihamparkan beg supaya orang yang lalu lalang boleh menghulurkan sedikit wang ehsan (ini bukan wang ehsan yang kerajaan Persekutuan perlu bayar kepada Terengganu, jangan silap).

Aku jenguk beg dihadapan pemuda itu untuk lihat berapa gaji hariannya untuk hari ini. Ouh, untuk pengetahuan, pemuda ini aku lihat sudah berada di sini lebih dari tiga hari berturut-turut di sini. "Mungkin lumayan gaji yang diterimanya sebab kawasan dia bekerja berdekatan Twin Tower PETRONAS, lubuk duit rakyat Malaysia," teka aku dalam hati.

Aku jenguk dengan penuh harapan kerana jika pendapatannya lumayan, aku juga mahu turut serta bersama pemuda ini mewujudkan 2-piece band untuk menghiburkan orang ramai yang lalu-lalang.

Jenguk. Gosok mata. Jenguk sekali lagi.

Aku hampa. Hanya terdapat beberapa keping wang syiling 20 sen dan dua keping nota RM 1. "Mungkin suara dia tak sedap atau mungkin orang ramai di sini tiada sikap prihatin/simpati," detik hati aku.

"Tapi, kenapa pemuda yang kelihatan sihat ini tak cuba cari pekerjaan yang lebih terjamin?" soal aku sendirian menghulurkan beberapa keping nota RM 1 dan syiling yang berada di dalam poket seluar sebelum berlalu dengan persoalan yang sama masih bermain di minda.

Di hadapan sedikit, aku lihat seorang wanita India Muslim (aku andaikan dia seorang beragama Islam sebab dia memakai tudung), sedang duduk mengemis, meminta sedekah dengan seorang bayi kecil yang sedang menyusu badan. Tersentuh hati aku melihat keadaan/situasi seperti ini. "Kenapalah dunia ini perlu begitu kejam kepada anak kecil ini?" soal hati aku. "Kenapalah dunia sebegini kejam terhadap manusia yang hanya mahu hidup, di dunia ini," hati sedihku memberontak mempersoalkan kekejaman dunia.

Dengan penuh rasa kasihan/simpati/belas ihsan aku buka dompet dan hulurkan beberapa keping nota RM 1 dengan harapan perutnya yang aku sangat pasti belum terisi apa-apa itu dapat merasa sedikit nikmat makan untuk hari ini.

"Semoga Allah permudahkan hidup kau dan anak kecil dalam dakapan kau pada hari ini dan hari-hari yang mendatang," pohon aku pada yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Aku berlalu ke Wisma Central, menyelesaikan sedikit urusan untuk hari ini.

Sebelum keluar terdetik di hati aku untuk membelikan wanita dan bayinya sedikit makanan. Aku capai sebotol air mineral dan sebuku roti dan membayar di kaunter. Aku bawa makanan tersebut dengan air mata bergenang kesedihan memikirkan nasib wanita dan bayi tersebut. Sampai di hadapan wanita itu aku hulurkan makanan yang aku beli. "This is for you. Please eat and take a good care of your baby," kata aku sayu sambil menghulurkan makanan tersebut kepada wanita itu. Wanita itu mendongak dan memandang aku dengan senyuman. Aku balas senyuman itu dan berlalu pergi.

Hati aku menangis.

5 comments:

Fariza said...

blog hop...
nice story...nice blog...keep it up !!

Anonymous said...

baiknya hati awak~

Lizjaja said...

"Tapi, kenapa pemuda yang kelihatan sihat ini tak cuba cari pekerjaan yang lebih terjamin?" soal aku sendirian menghulurkan beberapa keping nota RM 1 dan syiling yang berada di dalam poket seluar sebelum berlalu dengan persoalan yang sama masih bermain di minda.


Nk tahu tak kenape ko nmpk die ade duit 20 sen n 1 ringgit je...sbb, if die biarkan hasil pendapatan die kat dlm beg tu, nnt org curik.

Biasenye diorng akan simpan kat tmpt lain, once duit dlm tu mencapai harga 5 ringgit ke 10 ringgit ke.

Mane aku tahu?
sbb aku pernah nmpk diorng wat camtu..sambil buang mase tunggu ayah aku fetch aku, aku pun sembang2 laa ngan diorng nie..tak tahu laa kenape aku ty soklan tu, tp itu laa jawapan diorng.

Shamimi said...

bang jae nie baik ar.
beruntung sape dpt abg jae nie.Hihi...
respect lu bro.

Janda_Seksi said...

nak wujudkan 2 piece band?u nak main instrument ape?